TANAH MELAYU DILANGGAR TODAK

Ahad, 22 April 2012

Mudahnya Adun, MP BN Terengganu 'baham' tanah

Khairul Azlam Mohamad,19 Mac 2012

KUALA TERENGGANU, 19 Mac: PAS Terengganu mendedahkan terdapat ramai Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dan Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) dikurniakan tanah di negeri ini.

(Abdul Wahid menunjukkan gambar tanah yang didakwa milik Adun dan Ahli Parlimen BN.)

Pesuruhjaya PAS Terengganu, Mohd Abdul Wahid Endut melahirkan rasa sangsi serta dukacita apabila wakil rakyat Umno BN dengan mudah memperolehi tanah kerajaan sekitar satu hektar seorang.

Menurutnya, tindakan wakil rakyat Umno-BN tersebut tidak selari dengan slogan “Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan” dan “Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan”.

Ini kerana, katanya Umno mengutamakan pemimpin-pemimpin BN sedangkan tanah rakyat ‘dirampas’ serta tidak diselesaikan dengan baik.

“Kita ada bukti, kelulusan telah dibuat dan kerajaan tahu apa yang berlaku. Saya cukup kesal dalam keadaan rakyat cukup derita dengan mengambilan tanah yang tidak dibayar seberapa, juga dengan isu tanah yang berlarutan.

“Tiba-tiba ini (tanah) dikurniakan kepada Adun-Adun dan Ahli Parlimen BN. Kita persoalkan mengapa saat-saat waktu begitu, menjelang pilihan raya pemberian dan kelulusan tanah kepada Ahli Parlimen dan Adun-adun Barisan Nasional (BN) Terengganu.

“Ini memang tidak selari dengan slogan ‘Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan’ dan ‘Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan’. Bagi kami (PAS) jika macam ini, kami hendak beritahu kepada rakyat ia hanya slogan kosong semata-mata,” tegasnya.

Beliau berkata demikian pada satu sidang medianya di Pejabat Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu di Jalan Sultan Omar, Kuala Terengganu, semalam.

Menurutnya, bagi mengukuhkan hujah Umno mengutamakan pemimpin BN apabila sanggup merampas tanah Sekolah Rendah Islam Darul Bayan (SRIDB) dan diberikan kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Limbong, Paka, Dungun.

Abdul Wahid yang juga Ahli Parlimen Kuala Terengganu mendakwa setiap seorang Adun atau Ahli Parlimen BN dikurniakan tanah yang strategik di tepi pantai masing-masing sebanyak satu hektar.

“Apa yang berlaku sekarang ini, tanah itu diberi satu hektar atau dua setengah ekar seorang. Tanah ini diberi atas nama lot pertanian. Tanah cukup strategi, tepi pantai. Kita (PAS) ada bukti dengan gambar-gambar lokasi tanah yang diambil itu,” jelasnya.

Katanya, rakyat biasa hanya diberikan satu lot seorang dengan kiraan satu ekar dibahagikan kepada lapan bahagian lot.

Maknanya, kata Abdul Wahid setiap di kalangan pemimpin Umno berkenaan telah menafikan hak rakyat seramai 20 orang bagi satu hektar tanah tersebut.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan