TANAH MELAYU DILANGGAR TODAK

Isnin, 19 September 2011

Bekas ketua SB: Chin Peng sendiri akui Mat Indera serang Bukit Kepong


Bekas ketua SB: Chin Peng sendiri akui Mat Indera serang Bukit Kepong

September 15, 2011
KUALA LUMPUR, 15 Sept — Seorang pesara polis dari cawangan khas mendakwa bekas setiausaha agung Parti Komunis Malaya (PKM) Chin Peng mengakui serangan ke atas Balai Polis Bukit Kepong sememangnya diketuai Ahmad Indera yang menurut Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu seharusnya turut dianggap sebagai pejuang kemerdekaan.
Bekas pengarah cawangan khas Bukit Aman Datuk Zulkifli Abdul Rahman, 75, berkata, pada satu dialog di sebuah universiti di Australia yang dihadiri Chin Peng, anggota komunis itu juga mendedahkan bahawa Ahmad yang turut dikenali sebagai Mat Indera merupakan pemimpin utama parti itu di Johor.
“Dalam satu dialog yang diadakan di Universiti Australia pada 1999 yang mana Chin Peng menjadi subjek utama di mana mereka duduk bersama dengan dia untuk mentelaah dan bertukar fikiran dan bertanya pelbagai isu yang telah berlaku.
“Saya juga berjumpa dengan Chin Peng, bahasa Malaysia dia macam kita tapi loghat Perak sebab dia orang Perak . . . Chin Peng mengakui serangan di Bukit Kepong diketuai Mat Indera yang turut dikenali sebagai panglima yang memerintah di selatan Johor termasuk utara Johor, Batu Pahat, Muar, Segamat, Tangkak dan keseluruhan negeri Johor,” katanya pada Forum Merdeka Kekejaman Komunis, Mat Indera dan Kemerdekaan anjuran Perkasa malam tadi.
Beliau menambah: “Ini kata Chin Peng sendiri di khalayak, sah Mat Indera adalah pengganas, bagi Chin Peng untuk memimpin mestilah komunis, kalau tidak perjuangan akan lari dari prinsip komunis.”
Zulkifli turut mempersoalkan bagaimana Mohamad boleh menyanjung Mat Indera.
“Bagaimana Mat Sabu berani kata Mat Indera bukan komunis, kita perlu tanya mengapa Mat Sabu memilih Mat Indera sebagai idola dan peristiwa Bukit Kepong dan mengapa Mat Indera mahu dijadikan pejuang. Dia (Mohamad) tidak kenal Mat Indera, mengapa tidak pilih Abdullah Sidi yang merupakan pengerusi parti komunis yang masih hidup, mengapa Mat Indera? Bagaimana dia kenal Mat Indera yang tinggal di Johor.
“Kita dapati orang macam Mat Sabu (Mohamad), duduk di Pulau Pinang, baru dilantik timbalan presiden PAS . . . macam mana dia dapat ilham membangkitkan Mat Indera dan peristiwa Bukit Kepong, adakah ini satu usaha menyokong komunis tetapi tidak diketahui umum. Kita lihat dan tertanya-tanya walaupun darurat telah selesai mengapa sebabnya Mat Sabu selepas 61 tahun membangkitkan nama Mat Indera dan cerita Bukit Kepong sebagai satu cerita yang hendak membanggakan,” katanya.
Sejak penghujung bulan lalu, pemimpin-pemimpin Umno terus menyerang PAS dan terutamanya Mohamad kononnya mengagung-agungkan komunis dalam ceramahnya di Pulau Pinang 21 Ogos lalu.
Mohamad bagaimanapun menafikan ada mengagungkan komunis dan semalam telah memfailkan kes saman ke atas Utusan Malaysia atas alasan telah memutarbelitkan kenyataan beliau pada ceramah itu.
Menceritakan sedikit pengalaman tentang PKM, Zulkifli berkata, sesiapa yang menyertai parti itu perlu melalui proses tertentu dengan bermatlamatkan perjuangan untuk kemanusiaan.
“Bila masuk dalam komunis mesti jadi pengganas tapi nak jadi ahli itu perlu lalui proses tertentu, bila jadi komunis kata Chin Peng bila seseorang memeluk komunis dia mesti mengakui segala yang diperjuangkan adalah demi kepentingan kemanusiaan,” jelasnya.
Tambah beliau, walaupun PKM sudah tiada di Malaysia namun gerakan fahaman komunisme masih lagi wujud.
“Komunis tidak akan mengaku dia komunis tapi dia dengar apa masalah yang berlaku, kita sudah maju dan merdeka tetapi komunis tidak akan tinggalkan matlamat... komunis sedang serang hendap, menunggu masa dan ketika kerana dalam negara kita ada masalah seperti masalah sosial, politik dan kaum, ini yang ditunggu komunis.
“Di sini saya ingin bertanya mengapa Mat Sabu, Mat Sabu bukan komunis, saya percaya dia bukan komunis tetapi siapa di sekeliling dia, mengapa dibangkitkan nama Mat Indera.
“Jadi oleh kerana itu kita lihat bahawa gerakan yang berlaku sekarang seperti dirancang, tapi dirancang oleh siapa? Di sini perlu kita memahami gerakan komunis tidak mati, fahamannya masih ada sama ada ia sedang berlaku secara halus di universiti atau maktab, kita perlu faham,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan