TANAH MELAYU DILANGGAR TODAK

Sabtu, 27 Ogos 2011

Kenyataan Mat Sabu mengenai komunis dikecam

Mat Sabu pendokong komunis


KUCHING 27 Ogos – Wira negara, Pegawai Waran I (B) Temenggong Kanang Langkau melabelkan Mohamad Sabu sebagai pendokong komunis yang tidak layak mengambil bahagian dalam politik demokrasi di negara ini apabila mengangkat pengganas komunis sebagai hero tragedi Bukit Kepong.

Beliau yang menitiskan air mata apabila membaca laporan mengenai kenyataan prokomunis Timbalan Presiden Pas itu berkata, Mohamad Sabu juga adalah watak penghasut yang sewajarnya dikenakan tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Kanang yang tidak dapat mengawal perasaan apabila membaca laporan muka depan Utusan Malaysia hari ini, menegaskan pemimpin pembangkang itu tidak layak menjadi rakyat Malaysia kerana tergamak membuat kenyataan sedemikian menjelang sambutan Ulang Tahun Kemerdekaan negara Rabu ini.

“Orang ini langsung tidak berguna, beginikah sikap bekas wakil rakyat? Kirim salam pada dia dan beritahu kalau mahu sokong komunis tidak perlulah lagi bertanding dalam pilihan raya.

“Dia simpati dengan komunis, maknanya dia juga komunis, selayaknya dibuang daerah,” katanya dalam nada terketar-ketar menahan marah kepada Mingguan Malaysia, di sini hari ini.

Kanang, 67, ialah satu-satunya penerima dua pingat keperwiraan yang masih hidup iaitu Seri Pahlawan Gagah Perkasa (SP) dan Panglima Gagah Berani (PGB).

Dua pingat berkenaan dianugerahkan berikutan pengorbanannya menentang pengganas komunis di Perak sekitar 1980 sehingga hampir menemui ajal selepas peluru musuh mengenai jantung merosakkan satu buah pinggangnya, terburai usus perut dan terlantar di hospital selama 14 bulan.

Mengulas lanjut, Kanang mengingatkan rakyat yang cintakan keamanan dan tanah air supaya tidak memberikan sokongan kepada Mohamad Sabu serta parti yang diwakili atau mana-mana parti yang bersekutu dengannya.
Katanya, gerak cara politik yang ditunjukkan Mohamad Sabu memalukan dan merupakan satu tragedi kepada rakyat Malaysia apabila sanggup melakukan apa sahaja demi meraih undi walaupun maruah dipijak-pijak.

“Saya terima kewujudan pembangkang dengan hati terbuka tetapi ini bukan cara berpolitik yang betul sampai sanggup jatuhkan moral rakyat, kalau rakyat tidak sedar saya tidak tahulah.

“Pastinya orang ini tidak pernah merasa bagaimanakah perasaan apabila parang diletakkan pada tengkuk mereka,” tegasnya.

Kenyataan Mat Sabu kurang ajar

PUTRAJAYA 27 Ogos - Bekas tentera di negara ini menyelar Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu yang menganggap pengganas komunis hero sebenar tragedi Bukit Kepong dan menyifatkan kenyataannya sebagai biadab dan kurang ajar

Ketua Penerangan Persatuan Veteran Tentera Melayu (PVTM), Mohd. Jurit Ramli yang amat terkejut dengan kenyataan Mohamad Sabu itu menegaskan, ia jelas satu penghinaan besar terhadap seluruh bekas anggota pasukan keselamatan negara serta keluarga arwah yang terkorban melawan komunis pada era darurat.

Serentak itu, bekas tentera yang pernah berkhidmat dalam pasukan Malbatt Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu menyeru semua bekas tentera dan polis bersatu untuk 'menyerang hendap' Pas pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) nanti.

"Jika dia (Mohamad Sabu) sekali kurang ajar, kita (bekas tentera) akan lebih 10 kali kurang ajar terhadap dia.
"Kita pasti janjikan 'serang hendap' terhadap Mohamad Sabu dan Pas pada PRU13 jika Mohamad Sabu tidak memohon maaf secara terbuka kepada seluruh bekas tentera dan keluarga arwah-arwah yang terkorban menentang komunis.

"Kita nak tengok semasa PRU13 itu sama ada Mohamad Sabu hendak dapatkan bantuan komunis ke atau tidak.
"Kita harap dia faham mesej keras kita ini, tapi yang jelas Mohamad Sabu ni memang tak tahu bersyukur dan mengenang budi... bekas tentera sungguh terluka dan sedih dengan kenyataan tidak berperikemanusiaan ini," katanya yang juga Setiausaha Gabungan NGO Malaysia (GNM) kepada Mingguan Malaysia, hari ini.

Dianggarkan ketika ini terdapat lebih 300,000 bekas tentera di negara ini manakala di sebelah pasukan polis seramai 150,000 orang.

Mohamad Sabu dalam ceramahnya di Tasek Gelugor, Pulau Pinang pada 21 Ogos lalu, menganggap pengganas komunis dalam Kompeni Pasukan Keempat Parti Komunis Malaya yang membunuh anggota keselamatan serta keluarga mereka dalam tragedi Bukit Kepong sebagai hero sebenar.

Menurutnya, Muhammad Indera, lelaki Melayu yang bersekongkol dengan Goh Peng Tun dan 200 anggota komunis adalah hero sebenar, bukannya 25 anggota polis dan keluarga mereka yang mempertahankan diri ketika serangan di balai polis itu.

Dalam ceramahnya itu, Mohamad turut mendakwa Datuk Onn Jaafar dan Tunku Abdul Rahman tidak layak dianggap pejuang kemerdekaan kerana kedua-dua tokoh itu pegawai British.

Mohd. Jurit berkata, sepatutnya pada bulan Ramadan yang mulia ini dan menjelang sambutan Hari Kemerdekaan ke-54, Mohamad Sabu menyedekahkan Fatihah kepada arwah-arwah anggota tentera yang terkorban melawan komunis dan menjaga keselamatan negara.

"Ini tidak, melalut tak tentu arah...kita harapkan Mursyidul Am Pas (Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat) dapat memberikan tazkirah kepada Mohamad Sabu...ramai tentera dan bekas tentera marah dengan kenyataan yang tidak disangka-sangka ini," katanya.

Mat Sabu 'pembesar suara' DAP - Razali Ibrahim

KUALA LUMPUR 27 Ogos - Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu didesak memohon maaf kepada seluruh ahli keluarga anggota polis yang mempertahankan diri dalam tragedi berdarah Bukit Kepong.

Naib Ketua Pemuda UMNO, Datuk Razali Ibrahim berkata, tindakan pemimpin pembangkang itu menyifatkan anggota polis yang terkorban dalam tragedi itu sebagai pegawai British dan bukannya hero sebenar adalah satu penghinaan kepada keluarga mangsa tragedi itu.

Beliau melihat kenyataan itu secara tidak langsung membuktikan Mohamad Sabu kini mengikut telunjuk DAP dan menjadi 'pembesar suara' kepada parti itu yang selama ini cenderung menunjukkan simpati kepada perjuangan Parti Komunis Malaya (PKM).

"Dalam erti kata lain, DAP kini sudah berjaya berada di dalam barisan kepimpinan Pas dan saya tidak terkejut jika Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng banyak membantu Mohamad memenangi jawatan Timbalan Presiden Pas baru-baru ini,'' katanya kepada Mingguan Malaysia.


Beliau mengulas kenyataan Mohamad yang menganggap pengganas dalam Kompeni Pasukan Keempat PKM yang menyerang dan membunuh anggota keselamatan dan keluarga mereka dalam tragedi Bukit Kepong pada 23 Februari 1950 sebagai hero sebenar.

Dalam ceramahnya di Tasek Gelugor, Pulau Pinang pada 21 Ogos lalu juga, Mohamad turut mendakwa Datuk Onn Jaafar dan Tunku Abdul Rahman Putra tidak layak dianggap sebagai pejuang kemerdekaan kerana merupakan pegawai British.

Justeru Razali berkata, Mohamad Sabu juga patut meminta maaf kepada seluruh rakyat Malaysia kerana sanggup memesongkan fakta sejarah semata-mata kerana kepentingan politik.

Apakah ini bab pertama Mat Sabu mahu halalkan PKM?

PUTRAJAYA 27 Ogos - Tindakan Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu mendewa-dewakan komunis dengan menganggap kumpulan pengganas itu hero sebenar tragedi Bukit Kepong mesti ditentang habis-habisan.
Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, Mohamad Sabu atau Mat Sabu seolah-olah tidak dapat membezakan antara fahaman komunis dan pengganas komunis yang memusnahkan nyawa dan harta benda rakyat Malaysia antara 1948 hingga 1960.

"Kalau inilah jenis pimpinan Pas akan datang, yang memuja gerombolan pengganas sebagai hero Pas, negara ini akan huru-hara.

"Apakah ini bab pertama kepada Mat Sabu sebelum Parti Komunis Malaya hendak dihalalkan bagi dia dan pengikutnya?
"Kalau benar, Pas hendaklah membuat pendirian mulai kini supaya kita mengenal siapa sebenarnya dalang teroris di negara ini," tegasnya kepada Mingguan Malaysia, hari ini.

Pemuda BN Pagoh buat laporan polis ke atas Mat Sabu

PAGOH 27 Ogos - Pergerakan Pemuda Barisan Nasional (BN) Parlimen Pagoh hari ini membuat laporan polis berhubung kenyataan Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu yang mengangkat anggota Parti Komunis Malaya (PKM) sebagai hero sebenar tragedi Bukit Kepong 1950, dalam ceramahnya baru-baru ini.

Laporan tersebut dibuat oleh ketua pergerakan itu yang juga Ketua Pemuda UMNO bahagian, Ismail Mohamed di Balai Polis Pagoh, hari ini.

Pihaknya meminta polis menyiasat kenyataan Mat Sabu itu mengikut Akta Hasutan dan mengambil tindakan undang-undang yang sewajarnya.

"Kenyataan Mat Sabu bahawa pengganas komunis yang menyerang Balai Polis Bukit Kepong dan membunuh anggota polis dan orang kampung sebagai hero sebenar adalah sangat keji dan hina, serta tidak dapat diterima keluarga mangsa yang terbunuh dalam peristiwa tersebut.

"Kenyataan itu menunjukkan Mat Sabu tidak sensitif dan ketandusan idea demi kesinambungan politik murahan pakatan pembangkang sehingga menidakkan kebenaran. Bagaimana orang seperti ini boleh diterima sebagai Timbalan Presiden parti yang menjadikan Islam sebagai perjuangannya? Nauzubillah Himin Zaalik," katanya kepada pemberita di Balai Polis Pagoh di sini, hari ini.

Tegas Ismail, kenyataan Mohamad itu amat hina kerana ia dibuat semasa negara bakal menyambut Hari Kemerdekaan pada 31 Ogos ini.

"Kami mahu Mat Sabu meminta maaf dan menarik balik kenyataan yang dibuatnya pada ceramah itu kerana ia telah melukakan hati ahli keluarga dan keturunan anggota polis serta penduduk kampung di Bukit Kepong yang terkorban dalam serangan komunis itu," tegasnya.

Jelasnya lagi, pengganas komunis melakukan pelbagai kezaliman di kawasan Pagoh semasa zaman darurat dahulu dan ramai penduduk kampung terutamanya orang Melayu yang diseksa dan dibunuh sehingga ada yang tidak diketahui di mana kuburnya sehingga sekarang.

Mat Sabu kuat berbohong – Mohd. Isa

KUALA LUMPUR 27 Ogos – Sikap Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu yang cuba membohongi masyarakat Malaysia tentang sejarah Bukit Kepong membuktikan beliau pemimpin yang kuat berbohong dan ‘tidak boleh pakai.’
Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad berkata, sebelum ini, Mohamad cuba memutar belit insiden ‘dilanggar’ kenderaan polis ketika perhimpunan haram 9 Julai lalu dan baru-baru ini, cuba mengelirukan fakta sejarah berhubung Bukit Kepong.

Menurutnya, Mohamad sudah tidak ada pertimbangan kewarasan dalam hidup dan perkara itu seharusnya dibimbangi oleh semua pemimpin dan penyokong pakatan pembangkang.
“Kita semua sudah kenal dengan karakternya, dia memang percaya tindakan berbohong itu boleh membawa kejayaan kepada dirinya. Mat Sabu tidak kekok untuk menipu kerana ia telah jadi sebahagian daripada darah dagingnya.
“Saya percaya dia memang teringin untuk ubah semua fakta sejarah tanah air kerana dia mahu orang ramai mengenali dirinya, dia suka popular,” katanya kepada Mingguan Malaysia dekat sini, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai reaksi kepada kenyataan Mohamad yang menganggap pengganas dalam Kompeni Pasukan Ke-4 Parti Komunis Malaya (PKM) yang menyerang dan membunuh anggota keselamatan dan keluarga mereka dalam tragedi pada 23 Februari 1950 sebagai hero sebenar.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan