TANAH MELAYU DILANGGAR TODAK

Sabtu, 27 Ogos 2011

Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Indera Mahkota mahu polis menyiasat Fauziah Salleh berhubung Lynas


Siasat tohmahan Fuziah tentang Lynas


Suhaimi Sulong (tengah) menunjukan laporan polis yang dibuat agar pihak polis menyiasat tindakan Fuziah Salleh di Kuantan, semalam.


KUANTAN 26 Ogos - Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Indera Mahkota mahu polis menyiasat tindakan Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh yang secara berterusan membuat tohmahan berhubung pembinaan kilang pemprosesan nadir bumi oleh Syarikat Lynas Corporation Ltd. di Gebeng di sini.
Berikutan itu, satu laporan polis telah dibuat oleh Ketua Pemudanya, Suhaimi Sulong di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan kira-kira pukul 4 petang ini.
Menurut Suhaimi, tindakan Ahli Parlimen itu yang berterusan membuat tohmahan terhadap pembinaan kilang berkenaan dalam siri ceramahnya perlu dihentikan kerana ia boleh menimbulkan kekecohan di kalangan masyarakat.
"Apa yang dilakukan Fuziah akan menimbulkan kebimbangan di kalangan penduduk di sini terutama mengenai tahap keselamatan penduduk dengan fakta-fakta yang tidak benar," katanya ketika ditemui pemberita selepas membuat laporan di IPD Kuantan di sini.
Katanya, pihak berkuasa perlu menjalankan siasatan rapi berhubung dakwaan yang dilakukan oleh ahli Parlimen berkenaan supaya ia dapat dihentikan.
"Apa yang dilakukan ahli Parlimen itu seolah-olah mahu mengalih perhatian rakyat dan penduduk Kuantan menerusi fakta-fakta yang tidak benar sekali gus bertujuan mengalihkan perhatian terhadap kebajikan kerajaan pimpinan Barisan Nasional terhadap rakyat," jelasnya.
Terdahulu, isu pembinaan kilang berkenaan mencetuskan kontroversi apabila beberapa pihak membantah pembinaannya kerana didakwa bakal menghasilkan radiasi yang boleh memudaratkan kesihatan orang ramai.
Bagaimanapun, Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) baru-baru ini memutuskan kilang tersebut selamat, namun, syarikat dari Australia itu perlu melaksanakan pelbagai langkah penambahbaikan sebelum meneruskan operasi.
Petikan Utusan Online

Tiada ulasan:

Catat Ulasan