TANAH MELAYU DILANGGAR TODAK

Ahad, 21 Ogos 2011

"Tazkirah saya bersandar al-Quran" Azmil Mustpha


KUALA LUMPUR 20 Ogos - Pelakon yang kini menjadi pendakwah bebas, Azmil Mustapha berkata, tazkirah yang disampaikannya di Masjid An-Nur, Kampung Melayu Subang, kelmarin adalah bersandarkan kepada ayat-ayat al-Quran.

Beliau seterusnya menafikan ada mengkafirkan kerajaan dan menyampaikan ceramah berbaur hasutan politik supaya rakyat membenci Yang di-Pertuan Agong ketika memberi tazkirah sebelum solat sunat tarawih di masjid itu. Menurutnya, antara perkara disampaikannya adalah umat Islam wajib mengutamakan Allah berbanding manusia, tidak kira siapa orang itu. 

Pelakon filem Ali Setan dan Kepala Angin itu terkejut apabila laporan polis dibuat oleh bilal masjid itu, Mohd. Sani Nasib di Balai Polis Kampung Baru Subang pada pukul 11.30 pagi semalam yang mengatakan dia ada mengeluarkan kenyataan sedemikian.

"Saya tidak mengeluarkan kenyataan yang berbaur hasutan apatah lagi mahu menghina Yang di-Pertuan Agong. Tuduhan itu tidak berasas kerana ia tiada kena mengena dengan politik.

"Saya bukan sahaja tidak pernah mengundi pada pilihan raya umum, malah tidak berdaftar dengan mana-mana parti politik di negara ini," katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysiahari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed berkata, pihaknya sedang meneliti laporan polis yang dibuat dan membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 4, Akta Hasutan 1948.

Beliau berkata, setakat ini, siasatan kes berkenaan masih lagi di peringkat awal dan dia meminta orang ramai memberi peluang kepada polis untuk menyiasat kes itu secara terperinci.
"Dalam siasatan, kita memang akan panggil siapa yang berkenaan termasuk Azmil dan beberapa individu.

"Bagaimanapun, kita tidak boleh mendedahkan semua maklumat terperinci seperti bila dan di mana sesi merakam percakapan itu akan dilakukan. Biar pihak polis jalankan siasatan dulu," katanya.

Dalam pada itu, Mohd. Sani Nasib memaklumkan bahawa adiknya, Mohd. Shafie mempunyai pita rakaman kenyataan berbaur hasutan yang dikeluarkan Azmil dalam satu tazkirah di masjid berkenaan malam kelmarin.

Menurutnya, tindakan Azmil membuat penafian adalah dianggap sebagai menutup kesalahannya. Menurut Mohd. Sani, pita rakaman itu diserahkan oleh Mohd. Shafie kepada pihak polis untuk siasatan lanjut. "Selain pita rakaman itu, terdapat puluhan jemaah yang boleh dijadikan saksi berhubung kenyataan Azmil," katanya.

"Biarlah, dia mahu menafikan dan kita serahkan kepada polis untuk menjalankan siasatan," katanya.


Berita Sebelum ini.

Azmil didakwa hina Yang di-Pertuan Agong, kafirkan kerajaan

SUBANG JAYA 19 Ogos - Pelakon yang kini menjadi pendakwah bebas, Azmil Mustapha didakwa mengkafirkan kerajaan dan sistem yang diguna pakai ketika menyampaikan tazkirah kepada hampir 300 jemaah Masjid An-Nur, Kampung Melayu Subang, di sini malam tadi.

Azmil, 59, yang dijemput menyampaikan tazkirah untuk selama 15 minit sebelum solat tarawih turut didakwa menggunakan kesempatan tersebut untuk menyampaikan ceramah berbaur hasutan politik supaya rakyat membenci Yang di-Pertuan Agong.

Namun dalam ceramah yang berlarutan selama lebih satu jam itu, Azmil juga menghina Yang di-Pertuan Agong serta beberapa sultan lain.

Bilal Masjid An-Nur, Mohd. Sani Nasib berkata, penduduk pada awalnya ternanti-nanti pelakon yang terkenal dengan watak Ali Setan itu untuk menyampaikan tazkirah.
Menurutnya, Azmil bagaimanapun memberikan ceramah berbaur politik dari pukul 9.30 hingga 10.30 malam dan tindakan itu telah mengganggu waktu solat tarawih.

"Semasa Azmil mengutuk dan mengkafirkan kerajaan termasuk sistem yang digunakan, terdapat sebahagian besar jemaah meninggalkan masjid dan ketika itu juga seorang penduduk yang dikenali sebagai Keman, 70-an, bangun menyoal tindakan Azmil.

"Azmil kemudian memalukan Keman dengan mengatakan amal ibadat, zakat dan haji yang dilakukannya tidak akan diterima Allah kerana menyoalnya. Sebagai orang tua, Keman yang enggan bergaduh kemudian meninggalkan masjid," katanya.

Mohd. Sani berkata demikian kepada pemberita selepas membuat laporan berhubung perkara itu di Balai Polis Kampung Baru Subang di sini, pukul 11.30 pagi ini.
Tambahnya, dalam ceramah itu, Azmil turut menjerit dengan mengatakan 'Melayu bodoh' dan 'Melayu tiada telur' beberapa kali kerana menyokong kerajaan dan Yang di-Pertuan Agong.

Katanya, sebelum ini penceramah bebas yang hadir pernah menyampaikan ceramah berbaur politik namun tidak sekeras Azmil.      
"Kali ini kami tidak tahan lagi dengan penceramah bebas yang hanya mahu bercakap soal politik sedangkan masjid adalah tempat menyatukan orang Islam.
"Sebab itu, laporan polis dibuat supaya tindakan sewajarnya boleh diambil dan ia mungkin boleh memberikan pengajaran kepada penceramah lain," jelasnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan