TANAH MELAYU DILANGGAR TODAK

Khamis, 11 Ogos 2011

Rusuhan di Britain beri pengajaran: Hishammuddin

KAJANG: Banyak pengajaran boleh dipelajari daripada rusuhan ganas yang berlaku di London dan beberapa bandar lain di England, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein. 

Beliau berkata, insiden itu membuktikan pentingnya satu ketetapan dan ketegasan diambil oleh pihak berkuasa dalam menangani sesuatu isu secara bijaksana tanpa menjejaskan ketenteraman, kestabilan dan keharmonian di negara ini.

"Saya bersyukur apa yang melanda UK (United Kingdom) hari ini tidak berlaku di negara kita dan ini adalah sesuatu yang kita tidak boleh ambil mudah," katanya kepada pemberita sebelum majlis berbuka puasa kementerian itu di Masjid Kompleks Penjara Kajang, hari ini.


Hishammuddin berkata, rakyat Malaysia kini boleh membuat perbandingan dan penilaian sendiri bagaimana polis negara kita menangani perhimpunan haram Bersih pada 9 Julai lalu. 

Beliau berkata, KDN memantau secara dekat keadaan di London dan bandar raya lain di United Kingdom sejak tercetusnya rusuhan di Tottenham Sabtu lalu dan yakin kerajaan England mampu menangani rusuhan itu. 

Katanya, rusuhan itu turut mengingatkan kerajaan akan perkara yang perlu diberi penekanan sekiranya kerajaan ingin membuat sesuatu perubahan dalam isu-isu penting. 

"Kalau kita nak melihat kepada tranformasi, dalam kita nak mengimbangi hak dan juga keselamatan negara, bila kita nak membuat perubahan dalam konteks kebebasan untuk bersuara, maka kita hendaklah ambil kira kekangan-kekangan dan juga apa yang dihadapi oleh negara-negara tertentu," katanya. 
Rusuhan dan kejadian menjarah di United Kingdom tercetus pada Sabtu di Tottenham di utara London susulan tunjuk perasaan aman berhubung kematian Mark Duggan, seorang penduduk tempatan berkulit hitam berusia 29 tahun, selepas ditembak polis dua hari sebelum itu. 

Insiden ganas itu kemudiannya merebak di kawasan lain di London dan bandar lain. 

Isnin lalu, Muhammad Ashraf Haziq Rosli, 20, pelajar tahun pertama tajaan MARA dalam jurusan perakaunan di Kaplan College, hilang beberapa batang gigi dan patah rahang setelah diserang dan dirompak dalam satu rusuhan ketika dia serta rakannya berbasikal untuk berbuka puasa di rumah rakan mereka. 

Dalam perkembangan lain, Hishammuddin berkata media massa perlu sensitif dan bertanggungjawab dalam menyiarkan sesuatu berita tanpa menyinggung perasaan mana-mana pihak. 

Katanya, tindakan akhbar The Star yang menyiarkan artikel mengenai juadah Ramadan yang memuatkan gambar masakan daging khinzir, tidak boleh diterima, lebih-lebih lagi semasa Ramadan. 

"Ia tak sepatutnya berlaku. Saya tengok bahawa akhbar perlu sensitif dan bertanggunggjawab. Ia berkisar kepada perkara yang amat sensitif iaitu berhubungkait dengan agama. Kalau tidak ditangani dengan baik, kesannya akan dirasai semua," katanya. 

Artikel itu dimuatkan dalam sisipan 'Dining Out' akhbar itu dengan 'Ramadan Delights' sebagai tajuk muka depan, semalam. - BERNAMA 



Petikan Berita Harian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan